Kami Anak Anak PII:

Pelajar Islam Indonesia. Berjiwa Kepemimpinan, Berfikir Kritis, Cerdas, Cendikia,Dan Militan

20 Des 2011

Inilah Pemuda Harapan


Pemuda atau disebut asy-syabab dalam bahasa Arab merupakan golongan manusia dalam lingkungan umur 20 hingga 40 tahun. Antara keistimewaan mereka ialah mereka mampu mengerakkan diri dan orang sekeliling mereka kerana mereka memiliki kecerdasan akal dan kekuatan tubuh badan yang maksimum, sekiranya mereka mengerti. Malah jatuh bangun sesuatu tamadun boleh dilihat pada lemah atau kuat pemudanya pada masa tertentu. Benarlah kata-kata hikmat yang menggambarkan kepentingan pemuda “Jika ingin melihat Negara pada masa hadapan, lihatlah kepada para pemudanya pada masa kini”.
Imam Hasan Al-Banna dalam Risalah Pemuda memperincikan sifat pemuda dengan empat ciri iaitu mempunyai iman atau keyakinan yang kuat, keikhlasan atau kejujuran, bersemangat dan beramal. Ini kerana dalam diri pemuda terdapat asas-asas kepada sifat-sifat tersebut iaitu hati yang cerdik, sanubari yang jernih dan bersih, perasaan yang segar mekar serta keazaman yang gagah lagi tabah. Semua sifat ini, ditambah dengan petunjuk dari Ilahi menjadikan para pemuda Islam lebih istimewa berbanding kaum lain kerana mereka beriman.
Di dalam surah Al-Kahfi ayat ke-13, Allah berfirman:

نَحْنُ نَقُصُّ عَلَيْكَ نَبَأَهُمْ بِالْحَقِّ إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى

Kami ceritakan kepadamu (Wahai Muhammad) perihal mereka Dengan benar; Sesungguhnya mereka itu pemuda Yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahi mereka Dengan hidayah petunjuk.
Di dalam sirah Islam, kita dapati ramai daripada tokoh-tokoh pejuang Islam yang telah melakarkan sejarah hebat buat ummat ketika usia mereka yang masih muda. Sebahagian mereka yang dapat kita tanggapi termasuklah Tariq bin Ziyad yang memimpin pembukaan Muslim ke atas wilayah Al-Andalus, Muhammad Al-Fateh yang membuka Konstantinople daripada kekuasaan Rom dan Salahuddin Al-Ayyubi yang berperang melawan tentera Salib dan membebaskan semula Palestin dari tentera Salib. Kejayaan-kejayaan ini membuatkan mereka disegani dan digeruni oleh kawan dan musuh mereka. Sesungguhnya selain mereka masih ramai pejuang Islam mahupun ulama’ sepanjang sejarah yang telah melakarkan sejarah buat ummat ketika usia muda mereka, dalam setiap bidang kehidupan, namun tidak mampu kita panjangkan di kesempatan yang terhad ini.
Dukacitanya kualiti pemuda Islam pada zaman kini ternyata jauh berbeza dengan pemuda Islam di zaman kebangkitan dan kegemilangan Islam dahulu. Kebanyakan pemuda kini lebih disibukkan dan lalai dengan perkara-perkara yang diingini syahwat daripada nikmat-nikmat duniawi seperti wanita, hiburan, filem-filem, internet, permainan video dan lain-lain. Paling teruk mereka langsung lupa akan tujuan penciptaan mereka dan tanggungjawab yang tergalas diatas bahu mereka dalam kehidupan di dunia ini. Sememangnya mereka perlu dikejutkan dan disedarkan dari lamunan duniawi mereka tentang tugas dan kewajipan asasi mereka agar hujah umat Islam dapat ditegakkan ke atas orang kafir di hadapan Allah di akhirat nanti.
Dr Yusuf Al-Qaradhawi telah mengariskan sebanyak empat kewajipan asas kepada pemuda Islam hari ini untuk dilaksanakan. Kewajipan yang pertama ialah kewajipan memahami Islam secara sahih, dalam erti kata mereka perlu mempelajari dan memahami ajaran Islam dengan kefahaman yang benar iaitu seperti mana yang difahami oleh generasi kurun-kurun terbaik umat iaitu para sahabat, tabi’ dan tabi’ tabi’in. Ajaran Islam dengan tegas menyeru umat Islam supaya “melihat jalan dengan pandangan dan basirah ilmu”. Iaitulah ilmu yang dibina atas kefahaman akan dalil dari Quran dan sunnah, sirah Rasulullah dan para sahabat mahupun ajaran para ulama’. Maka itulah cara ikutan Islam yang sebenarnya.
Kewajipan pemuda yang kedua ialah kewajipan untuk beramal dengan ajaran Islam pada segenap aspek kehidupan meliputi ibadah, akhlak, keperibadian, urusan kehidupan dan lain-lain. Dalam hal ini, Dr Yusuf Al-Qaradhawi berkata “Islam tidak tersebar meluas menerusi siri-siri khutbah atau ceramah. Islam juga tidak tersebar melalui lambakan penulisan berita, rencana, dan buku-buku. Bahkan ia tersebar menerusi amalan, akhlak, dan keperibadian yang mulia. Ia tersebar menerusi penghayatan ajaran Islam yang jelas, sederhana, dan istiqamah”.
Kewajipan mereka yang seterusnya yang digariskan oleh beliau ialah kewajipan menyampaikan ajaran Islam kepada masyarakat atau berdakwah kepada Islam. Ia adalah dituntut pada setiap individu Muslim, berkadaran dengan kemampuan ilmu dan kebolehannya. Perumpamaannya seperti takungan air yang dapat memberi manfaat kepada manusia adalah lebih baik daripada takungan air yang manfaat hanya pada dirinya. Dalam komentar beliau terhadap kewajipan ketiga ini, Dr Yusuf Al-Qaradhawi memetik dalil Al-quran daripada surah al-Asr dan mengatakan “manusia tidak akan sempurna jika hanya mempunyai iman dan melakukan amal soleh sahaja, tetapi hendaklah sentiasa disertakan dengan sifat mulia suka berpesan-pesan dengan kebenaran dan menerima pesan yang benar (sabar)”.
Kewajipan terakhir yang digariskan oleh Dr Yusuf Al-Qaradhawi ialah pemuda harus bersatu atas nama Islam, bekerjasama dan tolong menolong. Dalam erti kata lain para pemuda diseru supaya bersama menggabungkan diri dalam mana-mana jemaah Islam. Ini kerana dakwah dan objektif risalah Islam tidak mampu dilaksanakan oleh individu perseorangan, bahkan memerlukan kerjasama, pesan memesan dan semangat tolong menolong di antara individu Islam, secara tersusun dan bersistematik, sehingga umat Islam mampu mengembalikan kegemilangan Islam, memartabatkannya dan mengangkat agama Allah lebih tinggi mengatasi agama-agama lain.
Oleh : Muhammad Ihsan Abdul Latif
AJK  PEMBINA Kuala Lumpur
Share it Please

Unknown

pengurus Daerah Pelajar Islam Indonesia yang Berada Di Jawa Tengah Yaitu Kabupaten Pati. Dan Ini Merupakan Postingan Dari kepala bidang Komunikasi Umat Dan Dari Pengurus Lain.

0 komentar:

Posting Komentar

silakan komentar dengan bahasa yang santun dan sopan

Copyright @ 2013 PII Pati. Designed by Templateism | Love for The Globe Press