Kami Anak Anak PII:

Pelajar Islam Indonesia. Berjiwa Kepemimpinan, Berfikir Kritis, Cerdas, Cendikia,Dan Militan

3 Sep 2011

Sambutan Aidil Fitri "Kemenangan Yang Dijanjikan"

Pada setiap tahun manusia yang beragama Islam menyambut hari raya AidilFitri di seluruh dunia pada 1 Syawal, Allah memberi ganjaran kepada umatnya yang telah mengharungi Ramadhan dengan sepenuh jiwa ada juga yang leka dengan dunia. Sedar ataupun tidak Ramadhan telah meninggalkan kita, sedih bagi mereka yang tidak mengambil manfaat dan bergembira bagi mereka yang mengutip bekalan dan mutiara yang ada di dalamnya. Moga–moga Allah menerima setiap amalan yang dilakukan.

Para sahabat radhiallahuanhum apabila mereka bertemu sesama mereka di hari raya, mereka akan mengucapkan sesama mereka, "Taqabbalallahu minna wa minkum."- (Moga Allah menerima ibadat yang dikerjakan dari kami dan dari anda) Ramai di kalangan kita lupa apakah maksud kemenangan yang dijanjikan Allah kepada hambanya di hari raya. Ia seolah-olah merdeka dari belenggu sekatan makanan, akan tetapi pada hakikatnya ia adalah melawan hawa nafsu dan kehendak diri. Sejarah memperlihatkan kepada kita banyak peperangan berlaku pada bulan Ramadhan, ini membuktikan kaitan sahabat pada zaman dahulu berperang melawan musuh dan Allah memberi kemenangan pada mereka. Jika diri kita tidak mampu melawan hawa nafsu bagaimana untuk berperang di jalan Allah? Ketahuilah kemenangan hakiki adalah dengan menegakkan daulah di muka bumi ini.


Firman Allah SWT, "Dan orang-orang kafir sebahagian mereka saling membantu sebahagian yang lain. Sekiranya kamu tidak melakukan seperti itu (saling bantu membantu) nescaya akan berlaku huru-hara di muka bumi dan kerosakan yang besar." (Al-Anfal:7)


Pernahkah kita terfikir amalan yang kita lakukan di bulan Ramadhan sebenarnya merupakan titik tolak dalam menyediakan diri untuk menjadi pemimpin pada masa hadapan? Hari raya menjadi tanda sama ada amalan yang dilakukan di bulan Ramadhan berterusan atau berhenti pada 1 Syawal sahaja dan menjadi bukti sama ada kita mampu menjadi pemimpin atau tidak. Hal ini saya lontarkan khusus buat mereka yang berada di Lembah Kapur Utara. Kita dikelilingi ilmu sejak berkurun lamanya, wajib atas kita untuk mempelajarinya tanpa erti jemu. Seorang pemimpin perlu memiliki ilmu yang bermanfaat buat dirinya dan masyarakat. Juga perlu memiliki bekalan amal ibadah yang benar-benar mantap dengan mendekati Tuhan yang Maha Esa untuk menghadapi masyarakat yang penuh kejahilan.
Firman Allah SWT, "Allah berjanji kepada orang-orang yang beriman dan beramal saleh, Dia akan menjadikan mereka pemimpin di dunia ini seperti Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka pemimpin." (An-Nur: 55)


Ramadhan mengajar kita bersatu dalam setiap perkara. Semua manusia berjihad melawan hawa nafsu di siang hari menahan kelaparan dan di malam hari solat tarawih bersama-sama. Islam mengajar kita hidup bersatu untuk meraih kejayaan, begitu juga pada hari raya, umat islam bertakbir bersama-sama melaungkannya dengan penuh semangat dan solat sunat AidilFitri bersama-sama. Ini membuktikan bahawa Allah menjanjikan kemenangan kepada umat Islam jika mereka bersatu di dalam landasan aqidah. Dengan penyatuan umat maka tertegaklah daulah di muka bumi ini.
 
Firman Allah SWT, "Dan berpegang teguhlah kamu dengan tali Allah, dan jangan kamu berpecah belah. Kamu ingatlah nikmat Allah ke atas kamu ketika kamu bermusuhan lalu Allah mentautkan hati-hati kamu, lalu dengan nikmatNya kamu menjadi bersaudara." (Ali Imran: 103)


Rakan-rakan pelajar-pelajar Islam di Lembah Kapur Utara, Saya mewakili ahli-ahli PD Pelajar Islam Indonesia (PII) Kabupaten Pati mengucapkan "Selamat hari raya AidilFitri‘ kepada semua pelajar dan rakyat Indonesia serta umat Islam di mana pun berada. Maaf zahir batin."

Sekali lagi AidilFitri datang membawa saat gembira dan suka bagi umat Islam. Datangnya sebagai lambang kejayaan bagi umat Islam kerana berjaya mengharungi sebulan Ramadhan dengan berlapar dahaga di siang hari dan beribadah sebanyak mungkin pada malamnya.
Sabda Rasulullah SAW, "Rugilah bagi sesiapa yang telah merugikan (Ramadhan), dan untunglah bagi sesiapa yang berjaya (memanfaatkan Ramadhan)." 

Ibadah berpuasa juga secara tidak langsung membawa mesej kepada dunia; umat Islam akhir zaman masih lagi berpegang teguh dengan perintah Allah SWT dengan kemampuan mereka melaksanakannya dalam suasana Islam ditindas di seluruh pelosok alam. Masih wujud kelompok (thoifah) yang memenangkan kebenaran dan mereka akan selamanya muncul sehingga Hari Kiamat. Sinar Islam pasti kembali suatu hari nanti.

Hadis: "Akan senantiasa ada di antara umatku suatu kelompok yang tampil membela kebenaran, tidak membahayakan mereka orang yang menghina (tidak menolong) mereka sehingga datang ketetapan Allah, sedang mereka tetap dalam keadaan demikian." (HR Muslim)


Hari raya juga merupakan hari umat Islam mempamerkan kekuatan persaudaraan Islam yang terjalin erat dengan simpulan aqidah. Ibadah solat sunat AidilFitri disunatkan untuk didirikan di tanah lapang supaya semangat kebersamaan itu lebih dirasai. Umpama satu perarakan ketenteraan yang perkasa dan tersusun. Laungan takbir beramai-ramai dengan suara yang nyaring merupakan simbolik seolah-olah kita sedang meraikan kemenangan yang agung dan suci. Marilah kita hayati erti takbir dan maani yang terkandung di dalamnya. Kita membenarkan dengan iman yang mendalam bahawa Allah Maha Besar. Allah adalah matlamat akhir setiap Muslim. Kita juga menyaksikan risalah Tauhid adalah misi besar setiap Muslim dalam kehidupannya. Kita mahu menuju ubudiyyah total kepada Allah SWT dalam segenap aspek meliputi aqidah, ibadah, akhlak dan agenda perjuangan. Keikhlasan dan tajarrud sebagai dua syarat utama yang seharusnya kita semua penuhi jika ingin mendaulatkan Islam sebagai tunjang perjuangan.

"Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah taghut." (An-Nahl: 36)


Kita yakin dan mengimani Allah SWT akan membenarkan janjinya kepada para hambaNya yang soleh dan beriman serta berjuang. Sejarah Perang Ahzab akan berulang semula. Tentera muslimin yang diketuai oleh Rasulullah SAW menghadapi gabungan raksasa tentera dunia; hampir-hampir mustahil untuk menang. Namun, akhirnya kemenangan daripada Allah SWT datang selepas para muslimin bersatu di atas dasar aqidah dan diperkukuhkan dengan benteng ukhuwwah Islamiah. Mereka memahami wala‘ hanya untuk Allah, RasulNya dan semua muslimin. Tiada tentera atas muka bumi yang mampu mengalahkan pasukan pejuang yang menjadikan Rasulullah sebagai Ketua dan Qudwah.

"Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)." (Al-Ahzab: 21)


Semua maani-maani yang hebat ini diulang-ulang oleh semua umat Islam mulai malam raya hingga saat Imam mengetuai solat sunat AidilFitri. Persoalan yang perlu dijawab: Adakah kita menghayatinya dan beramal atas laungan takbir tersebut? Sesungguhnya lafaz tersebut menggerunkan hati musuh Islam dan menggegarkan setiap satu kuasa taghut yang masih berdiri di atas bumi Allah.


Kenapa kandungan takbir raya seperti ini? Jawapannya, ingin mengingatkan semua umat Islam bahawa kejayaan berjihad melawan hawa nafsu hanya sebagai salah satu tangga-tangga dalam Kamus Jihad‘ yang luas. Ia sebagai pemula yang seharusnya dikekalkan dan disusuli dengan jihad-jihad yang lain. Ini juga memberikan satu kefahaman yang jelas bahawa kemenangan hakiki adalah pada harinya kita meraikan detik Islam menguasai dan memegang tampuk pemerintahan dunia. Itulah hari raya yang kita tunggu saat kedatangannya dengan amal dan usaha yang berterusan dan kesabaran para ulul azmi dari kalangan Rasul-Rasul.

Ini dia agenda kita bersama. Tapi, bagaimana semuanya bermula? Ia bermula dengan kita mengembalikan jati diri Islam yang semakin hilang dalam peribadi bangsa Indonesia beragama Islam di tanah air kita. Jati diri Muslim sejati yang sejahtera aqidah dan kuat ibadah. Kita mahukan muslim yang bertubuh kuat dan mampu melawan hawa nafsunya. Juga seorang yang menjaga waktu, menyusun urusan kehidupan harian dengan sistematik. Kita juga mahu membina kehendak kendiri yang kuat serta mampu berdikari dan mereka akan memberi manfaat kepada bangsa, negara dan Islam. Ayuh, pelajar-pelajar Islam di Pati! Kita menyediakan persiapan yang lengkap untuk kembali berkhidmat di Indonesia nanti.

Selamat Hari Raya AidilFitri, Maaf Zahir Batin.
| Memasyarakatkan Islam, Mengislamkan Masyarakat | @www.piipati.tk 
Fatchul Wachid (Ketua Umum PD PII Kabupaten Pati)
Share it Please

Unknown

pengurus Daerah Pelajar Islam Indonesia yang Berada Di Jawa Tengah Yaitu Kabupaten Pati. Dan Ini Merupakan Postingan Dari kepala bidang Komunikasi Umat Dan Dari Pengurus Lain.

0 komentar:

Posting Komentar

silakan komentar dengan bahasa yang santun dan sopan

Copyright @ 2013 PII Pati. Designed by Templateism | Love for The Globe Press